Selasa, 23 Oktober 2012

ISO Arowana Emas

BUKAN omong kosong apabila spesies ikan arowana emas Malaysia atau ikan naga (dragon bonytongues), Malayan bonytongue atau kelisa bakal diberikan standard ISO Sirim.
Ini suatu kejayaan membanggakan kerana 30 tahun lalu spesies ikan itu tidak dipedulikan, jika ditangkap pun sekadar untuk dijadikan pekasam oleh penduduk di utara Perak.

Bunyinya mungkin janggal tetapi standard ISO ini giat direncanakan Jabatan Perikanan dan Sirim Berhad bagi memastikan ikan unik kelahiran Malaysia ini mempunyai penjenamaan paten dan hak ciptanya sendiri.
Jelas ramai yang tidak sedar ikan arowana emas Malaysia menyumbang RM151 juta kepada nilai eksport ikan hiasan tempatan tahun lalu dan nilai ini dijangka terus meningkat.

Malah, Jabatan Perikanan yakin industri ternakan ikan arowana yang berkembang aktif di seluruh negara mampu menyumbang lebih RM600 juta kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) menjelang tahun 2020.

Prospek keuntungan daripada ikan arowana emas ini perlu disokong melalui pemberian standard ISO sekali gus melahirkan keyakinan kepada negara pengimport terhadap kualiti dan ‘jenama’ ikan kelahiran bumi Malaysia ini.
Sehingga kini, ikan arowana emas dikenal pasti tidak wujud di mana-mana lokasi lain di dunia selain hidup liar di Tasik Bukit Merah, Taiping dan Sungai Kerian, Perak.

Ini menjadikan ikan arowana emas Malaysia atau nama saintifiknya Scleropages Formosus amat unik dan boleh diangkat haiwan warisan yang perlu dipelihara.
Jabatan Perikanan dengan bantuan Sirim Berhad baru-baru ini berusaha memberi dimensi baru terhadap industri ternakan dan eksport ikan arowana emas Malaysia dengan mewujudkan standard khas yang boleh diguna pakai semua penggiat industri ikan hiasan.

Ini selaras dengan pengiktirafan Malaysia sebagai negara pengeluar ikan hiasan terbesar di dunia.

Standard ISO yang dikenali sebagai Department Of Fisheries Standard (DOF STAN 1:2012) itu adalah langkah awal Jabatan Perikanan dan Sirim memastikan DNA unik ikan arowana emas Malaysia ini dilindungi dan tidak diciplak oleh mana-mana negara luar.

Ketua Eksekutif Sirim Berhad, Dr Zainal Abidin Mohd Yusof berkata, standard yang bakal diperkenalkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan bertujuan memastikan produk Malaysia ini terus unggul dan memberi keuntungan besar kepada ekonomi negara.

Jelasnya, produk Malaysia ini mendapat persaingan dari negara pengeluar ikan hiasan lain termasuk Indonesia. Namun, ramai tidak sedar bahawa hanya negara Malaysia memiliki spesies ikan arowana bersisik berwarna emas tulen.

“Ikan arowana emas Malaysia lebih cantik berikutan sisiknya akan bertukar menjadi kemilau emas apabila matang berbanding warna merah yang dihasilkan ikan arowana Indonesia.

“Inilah menjadikan ikan arowana Malaysia ibarat ‘raja’ segala spesies ikan hiasan air tawar,” katanya.

Faktor ini menjadikan DOF STAN 1:2012 begitu penting dalam menggaris keperluan sejajar dengan standard dan kualiti ikan arowana emas Malaysia yang sudah dikenal pasti fizikalnya sebelum ini.

Standard yang sedang giat diperkenalkan ini akan menitik beratkan aspek penggredan, pengesanan, pembungkusan dan pelabelan, keperluan perundangan serta pematuhan piawaian bagi ikan arowana emas Malaysia.

Selain itu, Sirim Berhad kini sedang giat membangunkan alat khas Biosensor Pengenalan arowana emas Malaysia yang dijangka dapat disiapkan tahun depan.

“Alat unik ini ibarat ‘kemudahan forensik’ yang membolehkan DNA dan ciri unik arowana emas Malaysia dikenal pasti sekali gus membantu usaha penjenamaan ikan bernilai tinggi itu,” katanya.

Zainal yang ditemu bual di bengkel kualiti ikan arowana emas Malaysia di Bukit Merah Laketown Resort, Taiping mengakui kewujudan alat pengesan Biosensor itu memudahkan penternak ikan hiasan dan pengeksport mengenal pasti spesifikasi fizikal khusus anak ikan arowana emas Malaysia serta warna yang dihasilkan apabila dewasa.

Katanya, banyak aduan diterima berhubung kes penipuan apabila anak ikan arowana emas yang kononnya berasal dari Malaysia dan dijual pada harga mahal sebaliknya bertukar kepada warna lain ketika dewasa.

“Alat pengesan biosensor yang dicipta itu dapat mengatasi penipuan ini selain memberi sandaran kukuh kepada DOF STAN 1:2012,” katanya.

Tugas menghasilkan alat unik ini bukanlah mustahil bagi Sirim Berhad yang tersohor sebagai organisasi peneraju Penyelidikan dan Teknologi diiktiraf di peringkat global sama ada dari segi standard atau penilaian pematuhan. Langkah proaktif memajukan sektor akuakultur ini disokong sepenuhnya Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood yang yakin industri penternakan ikan arowana emas Malaysia akan melangkah dimensi baru selain mendominasikan sektor pengeluar ikan hiasan dunia.

Statistik menunjukkan nilai ekport ikan hiasan dari Malaysia termasuk arowana emas ke seluruh dunia mencecah nilai RM444 juta tahun lalu.

Ini cukup membuktikan kemampuan Malaysia bergelar ‘jaguh’ penghasilan baka ikan hiasan menandingi negara lain. Selain ikan arowana emas, Malaysia turut diiktiraf dunia sebagai pengeluar utama ikan hiasan lain termasuk ikan dalam kumpulan Cichlid (ikan Discus dan Angle Fish), Poecilids (ikan Guppy, Swordtail dan Molly), Cyprinid (ikan emas, koi dan tiger barb) dan Characins (ikan Tetra).

Katanya, harapan tinggi melihat Malaysia kekal meneraju sektor ini disandarkan kepada 130 penternak ikan arowana membabitkan kawasan kira-kira 800 hektar di seluruh Malaysia.

Sayangnya keuntungan diraih ini pastinya boleh dilipat gandakan jika ikan arowana emas Malaysia termasuk ikan Emas dan ikan Koi ‘buatan tempatan’ ini tidak dilarang masuk ke Negara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.

Sekatan ini ada kaitan dengan tuduhan tindakan Malaysia merosakkan populasi ikan arowana emas di habitat semula jadi hingga mengakibatkan kepupusan spesies itu.

Isu ini ada kaitan dengan tomahan sektor akuakultur Malaysia mengabaikan isu kebajikan haiwan dan tidak ‘penyayang’ dalam urusan ternakan, pengendalian dan pemeliharaan haiwan ternakan menyebabkan ikan hiasan negara ini disekat daripada memasuki pasaran antarabangsa.

Malah, Jabatan Perikanan turut berhadapan tanggungjawab untuk mematuhi Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITIES) yang ditandatangani sejak 1978.

Mengikut syarat ketat, setiap ladang ternakan ikan arowana perlu berdaftar di bawah Konvensyen CITIES ini dan Jabatan Perikanan wajib memastikan urus niaga ikan arowana emas Malaysia memenuhi syarat dan permit CITES berhubung isu penangkapan, pemilikan, pemasaran, pembiakan, penyeludupan, pengimportan dan pengeksportan secara haram di negara yang diharamkan perdagangannya. Namun, daripada 130 penternak arowana emas Malaysia, hanya 33 pengusaha saja dikenal pasti mendaftar ladang ternakan secara kurungan dengan sekretariat CITES di Geneva, Switzerland manakala bakinya masih mengambil sikap berdiam diri.

Pelbagai cabaran dihadapi ini sedikitpun tidak melunturkan matlamat dan hala tuju Jabatan Perikanan yang meletakkan keyakinan kepada sektor swasta sebagai peneraju industri ikan hiasan utama dunia.

Pada masa sama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan terus mewujudkan persekitaran mesra perniagaan melalui dasar, program dan sokongan insentif bagi mengekalkan Malaysia sebagai pengeluar nombor satu ikan hiasan dunia.

Malah, kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada potensi perniagaan ikan hiasan di bawah Bidang Ekonomi Negara apabila bidang ini disenaraikan sebagai peluang perniagaan yang mampu menyumbang kira-kira RM600 juta kepada Pendapatan Kasar Negara selain mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan di akhir tahun 2020.

Sebagai rakyat Malaysia, tidak salah kita berbangga dengan pencapaian luar biasa ikan arowana emas Malaysia ini yang berjaya melonjakkan nama negara ke persada dunia tanpa kita menyedarinya.

Penulis Ketua Biro Harian Metro Ipoh
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20

Isnin, 22 Oktober 2012

Tuah Dan Untung Arowana

Lenggok dan gerak badannya yang mempesonakan mampu membuatkan sepasang mata kaku menyaksikan makhluk ciptaan ini. Tambah menarik, struktur dan bentuknya sentiasa menarik perhatian bukan sahaja dalam kalangan peminatnya malah sesiapa yang menyukai kecantikan.

Emas berenang dengan pelbagai warna dan dianggap membawa tuah. Itulah perkataan yang paling sesuai sekali untuk menggambarkan kehebatan atau kelebihan ikan hiasan popular di negara ini iaitu ikan arowana.
Barangkali itulah yang menjadi daya penarik utama bagi kebanyakan peminat ikan ini termasuk anak kelahiran Kelantan, Suhaimi Md Amin, 52 yang kini mengusahakan perniagaan ikan hiasan melalui syarikat miliknya, Arowana Assakinah Agro Farm.

Beliau berkata, penglibatan awal dalam perusahaan ikan arowana bermula pada akhir 2009 apabila beliau berhasrat untuk mempelbagaikan segmen perniagaannya selain penternakan kambing.
“Sebelum meneruskan hasrat ini, saya melakukan kajian dan pemerhatian terlebih dahulu. Apa yang saya dapati, bidang penternakan ikan arowana memang mampu mendatangkan keuntungan lumayan buat pengusahanya,” katanya pada Info Agro.
Atas faktor itu, beliau mula menjalankan perusahaan ikan arowana secara kecil-kecilan dengan membeli kira-kira 20 ekor anak ikan itu dari ladang pembiakan dan membesarkannya untuk dijual di satu sudut kecil di dalam  rumahnya.
Menurutnya, sambutan yang diterima pada masa itu amat menggalakkan dan beliau mula menambah stok bilangan ikan kepada 50 ekor pada satu masa dan jumlah stok jualan tersebut meningkat kepada kira-kira 100 ekor pada hari ini. 

“Pada peringkat awal, saya tidak mempunyai asas dalam penternakan ikan arowana namun saya mengambil inisiatif untuk mempelajari segala aspek dalam bidang ini daripada mereka yang mahir dan berpengalaman.
“Untuk beberapa bulan pertama, saya hanya mempelajari kaedah penjagaan dan ternakan secara asas dan lama-kelamaan saya semakin menguasai bidang ini secara tidak langsung apabila menjalankan pelbagai urusan berkaitan ikan arowana,” katanya.

Hanya jual baka terbaik

Bilik pameran beliau yang dikenali sebagai Assakinah Arowana menawarkan empat jenis baka utama ikan arowana untuk jualan iaitu Chili Red, Malaysia Gold, Emas Merah dan Highback Golden. Kesemua ikan itu mempunyai harga tinggi terutama Chili Red yang mampu mencecah harga RM1500 bagi saiz empat inci.
“Saya hanya memasarkan ikan arowana daripada baka baik dan berkualiti sahaja. Untuk meyakinkan pelanggan, ikan yang dijual dimasukkan mikrocip bagi memberi jaminan bahawa baka tersebut adalah sebagaimana yang didakwa atau diberitahu kepada pelanggan,” katanya.

Suhaimi berkata, harga ikan arowana masih tinggi jika dibandingkan dengan ikan hiasan lain. Lazimnya harga ikan akan bergantung pada beberapa faktor seperti kualiti, saiz, keadaan permintaan, bekalan semasa dan lain-lain.  

Menurutnya, bekalan anak ikan akan meningkat pada musim hujan kerana cuaca sejuk adalah masa terbaik bagi  pembiakan ikan ini.

“Ikan arowana memang sejenis ikan yang istimewa kerana ia mempunyai sisik berkilau dan kelihatan amat cantik apabila disinari dengan cahaya lampu di dalam akuarium.

“Apa yang menarik, ikan ini akan nampak semakin cantik apabila ia makin mencapai umur matang dan mempunyai nilai komersial yang tinggi,” katanya.

Ketika ditanya tentang bekalan anak ikan arowana, beliau berkata, syarikatnya memiliki lima buah kolam pembiakan arowana di sebuah ladang pembiakan yang diusahakan rakannya di Bukit Merah, Perak.

Pada kebiasaannya, anak ikan arowana akan dilahirkan dan dibesarkan di ladang pembiakan  sehingga mencapai saiz 2.5 inci sehingga 3 inci sebelum di bawa ke bilik pamerannya di Taman Melati, Setapak.

“Selepas itu, saya akan  membesarkannya untuk tempoh beberapa bulan lagi di sebuah bilik bersebelahan bilik pameran sebelum diletakkan di bilik pameran untuk jualan,” katanya.

Bukan bidang sukar

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke bilik pamerannya datang dari seluruh negara di mana mereka ini merupakan peminat ikan arowana sejati.

“Saya katakan begitu kerana hanya mereka yang benar-benar mencintai ikan ini akan sanggup datang ke bilik pameran saya yang terletak di sebuah rumah di taman perumahan dan bukannya di rumah kedai,” katanya.  
Suhaimi berkata, penternakan ikan arowana bukanlah satu bidang yang sukar untuk diceburi kerana apa paling penting adalah minat dan komitmen bagi memastikan ia memberi pulangan yang diingini.
“Saya akui perniagaan dalam bidang ini juga mempunyai pelbagai cabaran terutama daripada aspek pemasaran selain kawalan penyakit seperti serangan bakteria dan kulat.   

“Oleh itu, saya banyak berkongsi ilmu tentang panduan asas penjagaan, cara mengenal baka, dan pemasaran di laman blog www.assakinah-arowana.com bagi menggalakkan orang ramai terutama anak muda untuk meminati bidang ini,” katanya.

Ketika ditanya tentang industri ikan hiasan, Suhaimi berkata, ia masih berada pada tahap baik dan boleh dilihat melalui pembukaan banyak ladang pembiakan ikan hiasan di seluruh negara.

Bagaimana pun, aspek pemasaran untuk industri ini masih lemah kerana bilangan peladang lebih ramai daripada golongan peniaga.

“Usaha mengeksport ikan ini perlu diluaskan bukan sahaja di China, Thailand dan Vietnam malah negara Eropah dan Amerika Syarikat kerana kuasa membeli dan pasaran di negara kita agak terhad.

“Saya harap Jabatan Perikanan dapat membantu mengatasi situasi itu sekali gus memastikan industri ini akan terus berkembang dan berdaya saing dipasaran global,” katanya.

Artikel dari http://www.sinarharian.com.my/rencana/tuah-dan-untung-arowana-1.97254

Ahad, 14 Oktober 2012

Perkembangan Industri Arowana


Air daripada Tasik Bukit Merah dikatakan mampu menghidupkan emas. Apa yang dimaksudkan dengan ‘emas’ di sini adalah Arowana Asia, iaitu sejenis ikan yang nadir dan mahal. Tasik Bukit Merah, dibina pada tahun 1906 khas untuk tujuan pengairan dan membekalkan air bagi Daerah Kerian dan Larut, merupakan tasik buatan manusia tertua di Malaysia. Tasik yang meliputi kawasan seluas 2,800 hektar ini membekalkan sumber air tak tercemar yang berterusan. Air tasik ini menjadi habitat semula jadi bagi banyak spesies tumbuhan dan haiwan, termasuk Arowana Emas Malaysia, salah satu daripada empat spesies istimewa Arowana Asia. Projek pembiakbakaan Arowana dekat Tasik Bukit Merah dalam Daerah Kerian, Perak telah berkembang daripada tidak sampai 10 usahawan yang mengusahakan 300 kolam pada tahun 2000 menjadi 70 perusahaan yang melibatkan 143 hektar tanah dengan 3,808 kolam pada tahun 2010.
Selain Perak, Johor merupakan satu lagi sumber pengeluaran utama bagi Arowana. Nilai Arowana yang dibiakbaka di kedua-dua negeri tersebut bagi tahun 2009 dianggarkan RM48 juta (Perak) dan RM78 juta (Johor). Hampir 95 peratus daripada hasil pengeluaran dieksport. Pengeluaran Arowana sendiri telah dapat merancakkan industri ikan perhiasan.
Industri ikan perhiasan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 43 peratus sejak tahun 2000-an, mencecah RM783 juta pada tahun 2009 dan dijangka mencapai RM1 bilion pada tahun 2011 dengan Arowana membolot RM250 juta daripada jumlah keseluruhan. Masa depan industri ikan perhiasan sangat memberangsangkan oleh sebab permintaan dunia terhadap Arowana dijangka meningkat pada kadar 2.5 hingga 4 peratus setahun.
Daripada segi destinasi eksport ikan perhiasan Malaysia, destinasi utama adalah negara-negara EU atau Kesatuan Eropah yang didahului oleh United Kingdom, Sepanyol dan Itali diikuti dengan Amerika Syarikat dan Taiwan manakala China menjadi sebuah destinasi yang semakin penting. Badan-badan Kerajaan perlu bergerak seiring dengan perkembangan ini agar tidak tercicir merebut peluang menyokong usaha pembiakbakaan Arowana di Malaysia. Satu langkah yang betul ke arah ini adalah pengenalpastian bidang Pertanian sebagai salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Subsektor bagi produk marin dan akuakultur di bawah NKEA merupakan tujuh peratus daripada sumbangan pertanian kepada Pendapatan Negara Kasar Malaysia pada tahun 2009. Potensi untuk meninggikan lagi angka ini pastinya berpunca daripada tumpuan yang diberi kepada subsektor terpilih yang berpotensi besar untuk menambahkan pendapatan penduduk dan ini termasuk pembiakbakaan Arowana. Adalah dijangkakan pendekatan yang tuntas akan diguna pakai bermula daripada pembiakbakaan membawa kepada pengedaran melibatkan perkhidmatan sokongan seperti bioteknologi dan logistik pertanian. Di samping itu, Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga akan beralih daripada pertanian berskala kecil kepada syarikat berskala industri besar untuk mencapai skala ekonomi.
Kita telah pun menyaksikan sesetengah dasar ini membuahkan hasil. Contohnya, kerjasama antara Jabatan Perikanan dengan perkhidmatan kargo Malaysia Airlines telah memudahkan ikan perhiasan dieksport dari Lapangan Terbang Antarabangsa. Pusat Pengurusan Kesihatan Ikan dan Kuarantin di KLIA bertanggungjawab mengeluarkan sijil kesihatan ikan, sijil asal usul dan permit lain yang dikehendaki untuk mengimport dan mengeksport ikan. Sebelum ini sebahagian besar eksport ikan perhiasan dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
Baru-baru ini Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah memberi kelulusan kepada Arowana Venture Breeding Management Scheme (Skim Pengurusan Pembiakbakaan Teroka Arowana), iaitu skim minat sah-taraf pertama di Malaysia dalam bidang pembiakbakaan Arowana Ini adalah satu langkah yang betul ke arah itu. Skim minat tersebut membolehkan pelabur yang ikut serta dalam skim mendapat keuntungan daripada jualan anak-anak ikan Arowana Emas Kacukan Balik (Golden Cross-back Arowana). Skim seumpama itu akan menarik lebih banyak pelaburan yang diperlukan dalam industri berkenaan.

Selain membina kolam-kolam lebih besar dan menggunakan teknologi yang lebih moden, maka wang yang dilaburkan ke dalam skim itu boleh disalurkan kepada penyelidikan mengenai biologi pembiakbakaan dan tingkah laku Arowana bertujuan menambahbaik kaedah penternakan yang digunakan sekarang serta juga pembiakbakaan pilihan untuk menambahbaik kualiti dan kuantiti generasi Arowana yang akan datang. Oleh sebab skim ini dikawal selia dengan begitu ketat, maka setiap pihak termasuk pelabur, pembiakbaka dan industri secara keseluruhan akan mendapat faedahnya.

Namun begitu, untuk meningkatkan permintaan terhadap Arowana lebih banyak usaha boleh dilakukan seperti menganjurkan lebih banyak pertunjukan perdagangan, contohnya Akuafair yang disasarkan kepada pembiakbaka, pengeksport dan pengimport ikan perhiasan. Malaysia perlu meningkatkan usaha kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Institut Penyelidikan Perikanan, universiti dan sektor swasta untuk meningkatkan kualiti ikan perhiasan termasuk Arowana. Selain itu lebih banyak kawasan tanah perlu diwartakan untuk usaha pembiakbakaan ikan Arowana lengkap dengan persediaan bekalan air sendiri untuk mengelakkan dari bersaing dengan bekalan air yang sangat diperlukan untuk penanaman padi.

Persaingan adalah sengit. Dari segi eksport, Singapura dan Indonesia mendahului Malaysia. Namun begitu, seperti juga dengan warna sisik ikan Arowana, industri Arowana di Malaysia mempunyai masa depan yang sangat cerah. Malaysia memiliki kelebihan dari segi air bernilai emas di Bukit Merah dan seharusnya memanfaatkan sumber ini dengan sebaik mungkin.