Selasa, 27 November 2012

Biak Arowana Kerana Minat


Saya sanggup menghadap akuarium, melihat ikan berenang selama berjam-jam tanpa rasa jemu, kadang-kala sehingga ditegur isteri baru tersedar," kata pengusaha ikan arowana, Amer Hamzah Dahlan. Bermula sebagai penggemar ikan hiasan, kini beliau boleh dikategorikan sebagai pengusaha benih ikan arowana yang berjaya.

Biarpun baru bertatih-tatih untuk mengeluarkan benih ikan arowana secara besar-besaran, namun pengalaman beberapa tahun memelihara, menternak serta membiak arowana secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil.

"Dahulu kerana minat sangat ikan ini (arowana) saya sanggup pergi dari kedai ke kedai hanya untuk melihatnya sahaja.

"Pada ketika itu tidak mampu untuk beli yang mahal-mahal, dapat tengok pun jadilah," ujarnya ketika ditemui di kolam ternakan ikan arowana di Bukit Merah, Semanggol, Perak.

Amer kini mampu berbangga dengan sebidang tanah yang memuatkan hampir 50 buah kolam ternakan arowana dan dihuni hampir 800 ekor ikan tersebut. Katanya, kerana minat yang mendalam pelbagai kajian berkenaan pembiakan dan penjagaan arowana telah dilakukannya sejak 10 tahun lalu.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Prisma Eramas Sdn. Bhd. ini membiak dan menternak ikan arowana secara kecil-kecilan. Malah, beliau yang pada ketika itu bekerja makan gaji sering berulang-alik ke Bukit Merah untuk melihat serta mengkaji bagaimana cara menternak dan memelihara ikan tersebut. Apabila telah benar-benar memahami dan yakin, Amer kemudiannya berhenti bekerja makan gaji dan menubuhkan syarikat penternakan ikan arowana bersama dua orang lagi rakan kongsinya.

Biarpun menetap di Bangi, Selangor, namun ia tidak menghalang Amer Hamzah untuk turun padang ke Bukit Merah seminggu sekali bagi memastikan perniagaannya berjalan lancar. Malah, dirinya sendiri sering mengendalikan proses mengeluarkan anak ikan arowana daripada induknya.
Biarpun proses tersebut kelihatan leceh kerana perlu membelai dan memujuk induk ikan untuk membuka mulutnya secara perlahan-lahan bagi mendapatkan anak yang dijaga.

Namun, benarlah kata pepatah, alah bisa tegal biasa, kehangatan pancaran matahari, hanyirnya bau lumpur ketika meredah kolam tidak lagi dirasakan apabila 'buah hati' yang berada di depan mata mampu memberikan hasil yang lumayan.

Menurut Amer Hamzah lagi, antara jenis ikan arowana yang terkenal dibiak olehnya adalah Malaysian Gold, Highback Golden, Red Arowana, Silver Arowana dan Gold Blue Base Arowana yang mana merupakan spesies asal yang terdapat di Tasik Bukit Merah.

Namun yang paling banyak mendapat permintaan adalah Malaysian Gold kerana ia sukar dibiak dan unik di mana hanya boleh didapati di negara ini terutamanya di sekitar Bukit Merah. Bagi induk utama, Amer memperolehinya daripada rakan-rakan pengusaha yang telah lama dikenali serta dipercayai. Ia berikutan untuk mendapatkan anak benih yang baik, ia memerlukan induk yang benar-benar sihat serta mampu menghasilkan anak yang banyak di samping memiliki daya ketahanan yang tinggi.

Menggunakan modal sendiri antara resipi utama kejayaan Amer Hamzah serta dua lagi rakan kongsinya.

"Sehingga kini saya dan rakan-rakan tidak pernah membuat pinjaman perniagaan dari mana-mana agensi.

"Segalanya menggunakan wang simpanan sendiri sebagai modal permulaan," katanya.

Biarpun baru bermula, perniagaannya kini berjalan lancar dan induk ikan yang dipelihara telah mula mengeluarkan hasil. Arowana atau nama saintifiknya Scleropages formosus (Asian Arowana) banyak terdapat di sekitar Tasik Bukit Merah, justeru kawasan tersebut dilihat amat sesuai untuk aktiviti pembiakan secara komersial.

Biarpun arowana merupakan ikan yang agak lasak dan memiliki daya ketahanan yang tinggi namun ia tetap memerlukan kualiti air yang baik. Jika terdapat pencemaran terhadap air yang dialirkan ke dalam kolam kemungkinan besar ikan-ikan yang terdapat di dalamnya akan mudah mati serta sukar untuk membiak. Jika ikan-ikan induk tersebut mudah mati pastinya pengusaha akan menanggung kerugian yang tinggi berikutan seekor induk ikan arowana mampu mencecah harga belasan ribuan ringgit. Untuk mengelakkan kejadian seumpama itu terjadi, sebuah rumah pemproses air turut dicipta olehnya. 

Ia bertujuan untuk membendung masalah pencemaran air jika berlaku dengan mengitar semula air kolam yang mengalir keluar. Proses tersebut juga seakan-akan proses kuarantin ikan di dalam kolam daripada bekalan air tercemar dari luar.

Rumah pemprosesan air itu terdiri daripada beberapa buah penyedut air yang menggunakan kuasa elektrik dan penapis mirip proses pembersihan sebuah akuarium. Justeru, jika pencemaran dikesan, tali air masuk akan ditutup dan air kolam akan dikitar dan dibersihkan.

Biarpun begitu, kematian induk arowana tetap tidak dapat dielakkan, namun ia boleh dikawal melalui proses penjagaan yang rapi. Bagaimana pun proses pembiakan tidaklah semudah seperti yang disangka kerana ikan arowana amat memilih pasangan.

Biarpun diletakkan secara berpasang-pasangan namun ia tidak boleh dipaksa untuk mengawan.B erbeza dengan cara pembiakan aruhan yang biasa dilakukan oleh penternak seperti ikan keli, patin dan tilapia, arowana memiliki caranya yang tersendiri. Apabila ikan betina telah bersedia untuk mengawan ia akan mengeluarkan telurnya dan akan disenyawakan oleh ikan jantan setelah itu ikan jantan akan membawa telur tersebut didalam mulutnya.

Proses menjaga akan diambil oleh ikan jantan dan berlanjutan sehingga anak-anak ikan cukup besar sebelum dilepaskan oleh induknya. Disinilah pengamatan teliti diperlukan untuk menentu ikan jantan tersebut sedang membawa telur atau anak ikan yang sudah matang.

Menurut Amer Hamzah, kebiasaannya ikan jantan yang membawa telur terdapat sedikit perubahan fizikal iaitu dari segi bentuk kepalanya.

"Kebiasaannya kepala ikan jantan yang membawa anak ikan atau telur memiliki saiz sedikit besar.

"Kita perlu perhatikan dengan teliti dan kemahiran ini memakan masa yang agak lama," ujarnya.

Terdapat dua kemungkinan yang akan terjadi jika seseorang pengusaha itu tidak berapa mahir dalam menentukannya iaitu sama ada akan memperolehi benih dalam bentuk telur (masih baru) atau jika terlambat anak ikan akan dilepaskan.
Jika dituai didalam bentuk telur dikhuatiri kadar kemandirian benih tidak tinggi di mana anak ikan akan cepat mati.

Namun, jika anak ikan telah dilepaskan oleh induknya (telah matang) ia mudah menjadi makanan kepada ikan pemangsa seperti haruan. Justeru, masa yang terbaik adalah dua hingga tiga minggu selepas musim mengawan di mana anak ikan telah cukup kuat untuk hidup sendiri.

Bagi syarikat Urusan Prisma Eramas Sdn. Bhd., mereka turut menyediakan inkubator untuk menyimpan anak benih ikan arowana yang masih kecil sehingga ikan tersebut matang untuk dipasarkan. Sehingga kini, anak benih ikan keluaran syarikat Amer Hamzah telah mendapat tempat di beberapa buah negara seperti Jepun.

Kini, mereka sedang dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan ke China berikutan permintaan terhadap ikan hiasan tersebut sedang galak dan telah menjadi fenomena di sana.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_02.htm#ixzz2DRLk2Ih1

 

Sabtu, 17 November 2012

Denda RM8j kes seludup Ikan Arowana

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an mungkin berdepan hukuman denda sehingga lebih RM8 juta selepas ditahan ketika cuba menyeludup 82 spesies ikan Scloropages Formosus atau Arowana Merah ke negara China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 Jun lalu.

Taktik suspek yang mengisi ikan arowana itu ke dalam beberapa plastik berasingan, sebelum disembunyikan di dalam tiga bagasi terbongkar selepas antara beg terbabit tiba-tiba mengeluarkan air ketika melalui pemeriksaan di kaunter daftar masuk KLIA, kira-kira jam 11 pagi pada hari kejadian.

Pihak berkuasa KLIA yang mengesyaki sesuatu terus memaklumkan kejadian kepada pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan selanjutnya.


Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perikanan Malaysia, Ismail Abu Hassan, berkata pegawai MAQIS yang melakukan pemeriksaan lanjut menjumpai 82 ikan arowana merah berukuran antara 12 hingga 15 sentimeter (cm), dianggarkan bernilai RM2,000 hingga RM3,000 seekor disembunyikan di dalam beg pakaian lelaki terbabit.

Berikutan itu, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM500.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 10, Akta 686 dan jika sabit kesalahan suspek boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap ekor ikan arowana dirampas,” katanya di sini, semalam.

“Manakala, syarikat terbabit pula boleh didenda maksimum RM200,000 bagi setiap ekor ikan,” katanya kepada media di sini, semalam. 

Sumber: http://www.bharian.com.my/articles/DendaRM8jkesseludupikanarowana/Article/

Ahad, 11 November 2012

Tanning dan WTT


Tanning Dan White Tank Treament

1. Tanning

'Tanning' adalah perkataan inggeris yang membawa maksud 'mendedahkan kulit kepada sinaran cahaya matahari'. Dalam konteks pembelaan arowana, 'tanning' bermaksud mendedahkan ikan arowana sejak bersaiz kecil kepada cahaya lampu. Arowana dibela di dalam persekitaran di mana cahaya lampu putih yang sangat terang dipasang untuk tempoh yang lama.

Tujuan 'tanning' adalah untuk membantu mempercepatkan proses 'tumbuh'nya sisik emas dan 'chu' ('chu' adalah sisik halus di bawah sirip 'dorsal' yang dilitupi emas). Ini adalah kerana arowana mengambil masa antara 3 hingga 5 tahun untuk matang, dan dalam keadaan biasa di mana arowana dibela di dalam akuarium di rumah, sisik emas serta 'chu' biasanya akan keluar sepenuhnya hanya selepas arowana ini matang. Harus difahami, di alam semulajadi iaitu di dalam sungai, ikan-ikan arowana sentiasa terdedah kepada pancaran cahaya matahari yang terang selama kira-kira 12 jam sehari di dalam aliran air yang jernih.

2. WTT (White Tank Treatment)

WTT atau 'White Tank Treatment' bermaksud memelihara arowana di dalam persekitaran yang cerah/terang atau persekitaran berwarna putih. Kebiasaannya, bagi melakukan teknik ini, arowana dibela sejak kecil didalam tangki fiber berwarna putih.

Teknik 'tanning' atau memasang lampu semata-mata tidak memberikan kesan optimum sekiranya arowana dibela di dalam persekitaran gelap. Teknik WTT ini membantu memberikan kesan optimum kepada proses 'tanning'.
Teknik WTT di mana tangki fiber putih tanpa tingkap kaca dan dipasang dengan lampu putih berkeamatan tinggi


Biasanya, WTT boleh dimulakan sejak anak arowana bersaiz kira-kira 3 inci, di mana pada peringkat awalnya, pencahayaan dibuat secara sederhana sahaja untuk mengelakkan anak-anak arowana mengalami 'stress'. Keamatan cahaya harus ditambah dengan cara menambah bilangan mentol lampu apabila anak-anak arowana ini semakin besar.

Anak-anak arowana gold dan arowana merah (red arowana) adalah sangat sesuai dibela menggunakan teknik WTT ini.

Lampu apa yang sesuai digunakan?

Apa-apa jenis lampu boleh digunakan, yang penting cahaya lampu mestilah putih dan terang. Lampu mentol bulat spiral, lampu panjang jenis t4 (lampu rumah) atau t5 (lampu panjang yang halus) pun boleh digunakan juga.

Selain dari WTT, untuk membantu sisik arowana kelihatan berkilau dan menyerlah, adalah perlu untuk memberikan secara berkala atau konsisten vitamin seperti Arowana Vital.

Sumber :http://www.assakinah-arowana.com/2011/08/tentang-tanning-dan-wtt-white-tank.html