Ahad, 23 Disember 2012

Perak Zon Ternakan Ikan Kelisa

Kementerian Pertanian dan Asas Tani akan meminta kerajaan negeri Perak mewartakan kawasan seluas kira-kira 100 hektar di Bukit Merah dekat sini sebagai zon akuakultur khusus bagi industri ternakan ikan kelisa.
Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata usaha itu perlu dibuat bagi memastikan "jelapang padi" Kerian tidak terjejas dengan lebih banyak ekoran permintaan tinggi bagi kawasan berkenaan untuk dijadikan kolam ternakan ikan kelisa.
"Kita perlu bincang dengan kerajaan negeri Perak untuk wujudkan zon akuakultur...kena hadkan kerana bimbang lebih banyak sawah akan terjejas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pengurusan Ikan Kelisa Emas Tasik Bukit Merah di sini.
Noh berkata kawasan sawah padi yang sebelum ini hanya bernilai kira-kira RM15,000 seekar kini mendapat tawaran harga sehingga RM300,000 ekoran perkembangan industri ternakan ikan kelisa.
Beliau berkata buat masa ini sebanyak 40 hektar kawasan sawah telah dijadikan kolam ternakan ikan berkenaan yang mendapat pasaran baik.
"Kawasan sekitar Tasik Bukit Merah merupakan satu-satunya habitat ikan kelisa emas di dunia...pengurusan yang mampan amat perlu bagi memastikan khazanah negara yang bernilai tinggi ini terus kekal di habitat asalnya," katanya.
Mengenai pelan berkenaan, Noh berkata ia sebahagian daripada usaha kementerian untuk memastikan industri berkenaan dapat diperluaskan pasarannya terutama ke Amerika Syarikat.
Beliau berkata ikan kelisa Malaysia tidak dapat menembusi pasaran Amerika Syarikat tanpa pelan pemuliharaan.
Spesies ikan berkenaan tersenarai sebagai spesies kawalan untuk perdagagangan antarabangsa mengikut Konvensyen Perdagangan Antarbangsa mengenai spesies flora dan fauna terancam (CITES) dan sebanyak 27 pengusaha ikan kelisa di Malaysia berdaftar dengan CITES, katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata Malaysia kini pengeluar kedua terbesar ikan kelisa selepas Indonesia.
Pelan pengurusan berkenaan diperkenalkan bagi mencapai matlamat memulihara stok sumber ikan kelisa emas yang endemik di Tasik Bukit Merah, katanya.
Sempena majlis berkenaan sebanyak 110 ekor anak kelisa emas bernilai kira-kira RM200,000 dilepaskan ke tasik berkenaan.