Air daripada Tasik Bukit Merah dikatakan mampu
menghidupkan emas. Apa yang dimaksudkan dengan ‘emas’ di sini adalah Arowana
Asia, iaitu sejenis ikan yang nadir dan mahal. Tasik Bukit Merah, dibina pada tahun 1906 khas
untuk tujuan pengairan dan membekalkan air bagi Daerah Kerian dan Larut,
merupakan tasik buatan manusia tertua di Malaysia. Tasik yang meliputi kawasan
seluas 2,800 hektar ini membekalkan sumber air tak tercemar yang berterusan.
Air tasik ini menjadi habitat semula jadi bagi banyak spesies tumbuhan dan
haiwan, termasuk Arowana Emas Malaysia, salah satu daripada empat spesies
istimewa Arowana Asia. Projek pembiakbakaan Arowana dekat Tasik Bukit Merah
dalam Daerah Kerian, Perak telah berkembang daripada tidak sampai 10 usahawan yang
mengusahakan 300 kolam pada tahun 2000 menjadi 70 perusahaan yang melibatkan
143 hektar tanah dengan 3,808 kolam pada tahun 2010.
Selain Perak, Johor merupakan satu lagi sumber
pengeluaran utama bagi Arowana. Nilai Arowana yang dibiakbaka di kedua-dua negeri
tersebut bagi tahun 2009 dianggarkan RM48 juta (Perak) dan RM78 juta (Johor).
Hampir 95 peratus daripada hasil pengeluaran dieksport. Pengeluaran Arowana
sendiri telah dapat merancakkan industri ikan perhiasan.
Industri ikan perhiasan di Malaysia mencatatkan
pertumbuhan tahunan sebanyak 43 peratus sejak tahun 2000-an, mencecah RM783
juta pada tahun 2009 dan dijangka mencapai RM1 bilion pada tahun 2011 dengan
Arowana membolot RM250 juta daripada jumlah keseluruhan. Masa depan industri
ikan perhiasan sangat memberangsangkan oleh sebab permintaan dunia terhadap
Arowana dijangka meningkat pada kadar 2.5 hingga 4 peratus setahun.
Daripada segi destinasi eksport ikan perhiasan
Malaysia, destinasi utama adalah negara-negara EU atau Kesatuan Eropah yang
didahului oleh United Kingdom, Sepanyol dan Itali diikuti dengan Amerika
Syarikat dan Taiwan manakala China menjadi sebuah destinasi yang semakin
penting. Badan-badan Kerajaan perlu bergerak seiring
dengan perkembangan ini agar tidak tercicir merebut peluang menyokong usaha
pembiakbakaan Arowana di Malaysia. Satu langkah yang betul ke arah ini adalah
pengenalpastian bidang Pertanian sebagai salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara
(NKEA). Subsektor bagi produk marin dan akuakultur di bawah NKEA merupakan
tujuh peratus daripada sumbangan pertanian kepada Pendapatan Negara Kasar
Malaysia pada tahun 2009. Potensi untuk meninggikan lagi angka ini pastinya
berpunca daripada tumpuan yang diberi kepada subsektor terpilih yang berpotensi
besar untuk menambahkan pendapatan penduduk dan ini termasuk pembiakbakaan
Arowana. Adalah dijangkakan pendekatan yang tuntas akan diguna pakai bermula
daripada pembiakbakaan membawa kepada pengedaran melibatkan perkhidmatan
sokongan seperti bioteknologi dan logistik pertanian. Di samping itu, Program
Transformasi Ekonomi (ETP) juga akan beralih daripada pertanian berskala kecil
kepada syarikat berskala industri besar untuk mencapai skala ekonomi.
Kita telah pun menyaksikan sesetengah dasar ini
membuahkan hasil. Contohnya, kerjasama antara Jabatan Perikanan dengan
perkhidmatan kargo Malaysia Airlines telah memudahkan ikan perhiasan dieksport
dari Lapangan Terbang Antarabangsa. Pusat Pengurusan Kesihatan Ikan dan
Kuarantin di KLIA bertanggungjawab mengeluarkan sijil kesihatan ikan, sijil
asal usul dan permit lain yang dikehendaki untuk mengimport dan mengeksport
ikan. Sebelum ini sebahagian besar eksport ikan perhiasan dari Malaysia melalui
Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
Baru-baru ini Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah
memberi kelulusan kepada Arowana Venture Breeding Management Scheme (Skim
Pengurusan Pembiakbakaan Teroka Arowana), iaitu skim minat sah-taraf pertama di
Malaysia dalam bidang pembiakbakaan Arowana Ini adalah satu langkah yang betul
ke arah itu. Skim minat tersebut membolehkan pelabur yang ikut serta dalam skim
mendapat keuntungan daripada jualan anak-anak ikan Arowana Emas Kacukan Balik
(Golden Cross-back Arowana). Skim seumpama itu akan menarik lebih banyak
pelaburan yang diperlukan dalam industri berkenaan.
Selain membina kolam-kolam lebih besar dan
menggunakan teknologi yang lebih moden, maka wang yang dilaburkan ke dalam skim
itu boleh disalurkan kepada penyelidikan mengenai biologi pembiakbakaan dan
tingkah laku Arowana bertujuan menambahbaik kaedah penternakan yang digunakan
sekarang serta juga pembiakbakaan pilihan untuk menambahbaik kualiti dan
kuantiti generasi Arowana yang akan datang. Oleh sebab skim ini dikawal selia
dengan begitu ketat, maka setiap pihak termasuk pelabur, pembiakbaka dan
industri secara keseluruhan akan mendapat faedahnya.
Namun begitu, untuk meningkatkan permintaan
terhadap Arowana lebih banyak usaha boleh dilakukan seperti menganjurkan lebih
banyak pertunjukan perdagangan, contohnya Akuafair yang disasarkan kepada
pembiakbaka, pengeksport dan pengimport ikan perhiasan. Malaysia perlu
meningkatkan usaha kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan
(R&D) antara Institut Penyelidikan Perikanan, universiti dan sektor swasta
untuk meningkatkan kualiti ikan perhiasan termasuk Arowana. Selain itu lebih
banyak kawasan tanah perlu diwartakan untuk usaha pembiakbakaan ikan Arowana
lengkap dengan persediaan bekalan air sendiri untuk mengelakkan dari bersaing
dengan bekalan air yang sangat diperlukan untuk penanaman padi.
Persaingan adalah sengit. Dari segi eksport,
Singapura dan Indonesia mendahului Malaysia. Namun begitu, seperti juga dengan
warna sisik ikan Arowana, industri Arowana di Malaysia mempunyai masa depan
yang sangat cerah. Malaysia memiliki kelebihan dari segi air bernilai emas di
Bukit Merah dan seharusnya memanfaatkan sumber ini dengan sebaik mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan