Rabu, 16 Mei 2012

Permulaan Memelihara Arowana

Arowana Malaysian Bluebase
Sebenarnya penjagaan ikan jenis ini ada senang dan susah. Tetapi persepsi masyarakat telah mnyebabkan timbul satu pemikiran yang memelihara ikan jenis ini bahaya kerana takut ikan tersebut mati. Maklumlah harga ikan Arowana ni agak mahal bagi penghobi baru.

Namun iu hanyalah persepsi dan tidak benar sama sekali. Dibawah ini saya nyatakan persediaan awal dalam penjagaan ikan Arowana kesayangan kita.Sebelum membeli atau memelihara ikan kelisa adalah lebih baik diselidiki dahulu ikan kelisa atau Arowana jenis yang mana yang hendak dipelihara. Terdapat beberapa jenis arowana yang mudah didapati di kedai Ikan Hiasan di negara kita. 

     -   Yang murah: Ikan dari australia tetapi dah ada yang local breed seperti Pearl Arowana. Bagus untuk penghobi baru.

    -    Yang agak mahal: Ikan kelisa tempatan iaitu jenis Green Arowana, Yellow Arowana, Yellow Tail, Malaysia Golden, Highback.

       -     Ikan Import: Ikan Kelisa dari Indonesia seperti Chili red dan Super Red (Imperial Red).

Setelah dipastikan Arowana yang mana, sebelum membawa pulang ikan tersebut, kalau boleh tinggalkan ikan tersebut dikedai tadi selama satu hari dan tidak diberi makanan. Ini adalah untuk mengurangkan stress kepada ikan tersebut semasa perjalanan dari kedai ke rumah anda.

Untuk penyediaan akuarium, penghobi adalah digalakkan menyediakan sekurang-kurangnya akuarium 3 kaki atau lebih. Akuarium hendaklah disediakan terlebih dahulu dan pastikan akuarium tersebut mempunyai tudung yang rapat dan teguh. Kemudian pastikan tiada benda tajam didalam dan dibawah permukaan tudung akuarium tersebut bagi mengelakkan sebarang kecederaan pada Arowana anda.

Sebelum masukkan air paip masukkan 5 penutup anti Klorin (untuk akuarium 3 kaki) dan kemudian masukkan air. Seboleh-bolehnya akuarium tersebut telah disediakan dengan air yang mengalir sekurang-kurangnya 3 hari. Pastikan akuarium anda mempunyai motor untuk sistem penapisan, Air Bubble untuk tambahan oxygen dan yang penting iaitu backup air bubble. Ianya berfungsi untuk mengeluarkan Bubble/oksigen jika bekalan elektrik terputus.

Arowana Super Red
Setelah semuanya tersedia, masukkan Arowana anda kedalam akuarium bersama-sama dengan plastiknya (tanpa dibuka), ini bertujuan untuk keserasian suhu diantara air dalam plastik dengan air akuarium. Setelah 10 minit buka plastik dan masukkan air akuarium kedalam plastik tadi dalam anggaran 1/3 dan biarkan selama 3-5 minit. Setelah itu barulah masukkan Arowana anda ke dalam akuarium. Setelah dimasukkan janganlah diberi makan sehingga keesokkan harinya atau sekurang-kurangnya selama 12 jam.

Untuk lebih menikmati keindahan Arowana, anda adalah digalakkan memasang lampu pada akuarium anda dan berlatar belakangkan warna gelap seperti hitam dan biru.

Untuk makanan Arowana, anda adalah digalakkan untuk mempelbagaikan sumber makanannya agar ikan anda sihat dan akan kelihatan lebih cantik dan menarik. Diantara makanan Arowana ialah ulat (worm), anak seluang, anak udang, cengkerik dan anak katak.

Ingat air akuarium anda perlu ditukar sekurang-kurangnya 4 hari dan tak lebih dari seminggu sekali. Ini adalah untuk memastikan kitaran air didalam akuarium anda sentiasa pada kadar PH dan KH yang baik dan sihat untuk ikan Arowana anda.

Selamat Melaksanakan Hobi Anda. Semoga Berjaya.

Isnin, 14 Mei 2012

Arowana Emas

Malaysia Golden adalah baka arowana yang dikatakan berasal dari Semenanjung Malaysia dan pada suatu ketika dulu banyak terdapat secara liar di Sungai Kerian dan Tasik Bukit Merah.
Bagaimana pun baka asal yang hidup secara liar sudah hampir pupus kerana ditangkap oleh penggemar-penggemar arowana, sebahagiannya dijual kepada penggemar-penggemar luar negara manakala sebahagian lagi masih terdapat di kolam-kolam peliharaan arowana seperti di sekitar Tasik Bukit Merah.
Arowana dari baka golden yang boleh didapati hari ini kebanyakannya bukannya merupakan baka Malaysia Golden (MG) tulen, sebaliknya telah dikacuk. Ia boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, iaitu:
Golden Head
Arowana Golden Head sebenarnya bukanlah baka Malaysia Golden atau MG tulen. Malah ia adalah baka yang terhasil dari teknologi kacukan (hibrid) di antara baka MG dan baka arowana merah (red arowana). Begitu pun, arowana golden head ini adalah digolongkan dalam famili Golden series.
Terdapat "gold ring" atau jalur berwarna emas yang berbentuk seperti cincin melitupi lingkaran luar sisik, yang merupakan kriteria utama MG. Pada arowana golden head, gold ring ini meliputi semua barisan sisik termasuk sisik di paras 6. Walau bagaimanapun, warna emas "gold ring" ini kurang pekat berbanding dengan MG (iaitu less intense).
Di samping itu terdapat tompokan emas pada bahagian atas kepala (forehead) juga. Apabila cukup dewasa dan bila dibela di dalam akuarium dengan latarbelakang gelap, warna emasnya kelihatan pekat. Seperti juga MG, salah satu ciri Golden Head adalah kehadiran "chu" yang halus dan tersusun kemas di bawah sirip dorsal fin.

"Chu" atau juga dipanggil "pearlis" adalah merupakan sisik-sisik halus berwarna keemasan yang terdapat pada badan ikan di bahagian bawah sirip atas (dorsal fin). Kehadiran "Chu" adalah merupakan kriteria penting untuk mengkelaskan arowana dan membezakan MG dengan lain-lain baka seperti Golden High Back.
Untuk melayakkan sesekor arowana dari baka gold dipanggil MG, ia mestilah mempunyai sekurang-kurangnya sebaris penuh "chu". Sekiranya ia hanya mempunyai beberapa keping 'chu' kasar, arowana ini hanya layak dipanggil Super Highback







Arowana Golden Head yang berkualiti tinggi merupakan baka termahal dalam species Malaysia Golden. Ia matang dan mula membiak selepas usia 3 tahun. Adalah dikatakan bahawa Arowana Golden Head dihasilkan melalui proses kacukan (crossbreed) beberapa peringkat antara baka MG dengan Blood Red oleh pengusaha-pengusaha arowana Singapura yang kemudiannya mengkomersilkan baka ini.

Proses kacukan peringkat 1 antara MG dan Blood Red menghasilkan arowana 'Tong Yan'. Proses kacukan antara 'Tong Yan' dan MG yang berulangkali akhirnya menghasilkan baka Golden Head.

Cross Back

Baka kedua termahal dalam species arowana Malaysia adalah MG Crossback. Rupanya kelihatan seperti Golden Head dengan kehadiran chu yang halus dan tersusun rapi, tetapi kepala tidak mempunyai tompokan emas.

Selain itu, satu lagi perbezaan antara Golden Head dan Crossback adalah warna emas "gold ring" pada Crossback adalah lebih pekat (very intense). Ini adalah kerana pada GH, kepekatan warna semakin pudar kerana ia dikacuk dengan arowana merah.

 Malaysia Golden (MG)
Perbezaan antara MG biasa dan MG Cross Back adalah terlalu kecil, iaitu bagi MG warna emas tidak meliputi keseluruhan "ring" pada sisik baris ke-6 (barisan sisik atas belakang). Bila dilihat dari atas, kelihatan jalur berwarna hitam di sepanjang sisik atas belakang. Chu juga terdapat pada MG, seperti yang terdapat pada Cross Back dan Golden Head, malah chu merupakan kriteria utama bagi MG. Baka MG yang berkualiti tinggi mempunyai chu yang halus dan tersusun rapi, samaada 2 atau 3 baris.
Kriteria utama baka MG dapat diringkaskan seperti berikut: 
i.         Warna emas yang pekat pada gold ring
ii.     Gold ring meliputi sisik di paras 5.5 (iaitu sehingga sebahagian dari sisik pada paras 6)apabila matang
iii.        Chu yang halus pada bahagian badan di bawah sirip dorsal
iv.          Chu yang halus juga terdapat pada pada bahagian bawah badan, di atas sirip "anal"
Golden High Back
Golden High Back adalah merupakan baka kacukan (hibrid) di antara pejantan MG dan induk Red Tail Golden (RTG) dari Indonesia. "Ring" berwarna emas terdapat pada pada sisik sehingga ke barisan ke 4 dan ke 5. Baka ini kadang-kadang dipanggil High Back RTG (HBRTG).
Walau bagaimanapun, ada juga baka golden highback yang dihasilkan melalui proses kacukan antara MG dan baka-baka lain seperti banjar red atau hijau. Proses kacukan ini selalunya melalui beberapa peringkat sebelum terhasilnya baka yang berkriteria seperti highback iaitu mempunyai "gold ring" iaitu jalur emas pada lilitan luar sisik.
Golden High Back - "ring" emas cuma kelihatan sehingga ke sisik barisan ke 4 1/2 atau 5. Pandangan dari atas, tiada warna keemasan pada sisik atas belakang.
Golden Super High Back
Dihasilkan dari kacukan MG dan Golden Highback. Kualiti baka ini akan bertambah baik sekiranya proses kacukan dilakukan berulangkali, iaitu anak Super HB dikacuk lagi dengan MG, dan begitulah seterusnya. Sekiranya proses kacukan ini diulang berkali-kali, anak Super HB yang terhasil berupaya mempunyai kriteria dan kualiti seperti mana MG, bahkan hampir tak dapat dibezakan dari MG, kecuali dengan melihat pada 'chu'nya.

Super Highback yang berkualiti tinggi mempunyai keamatan  warna emas yang kuat (pekat) pada 'ring'nya. Begitu juga dengan warna asasnya (base colour) yang juga pekat. Walau bagaimanapun, ia dibezakan dengan MG berpandukan kualiti 'chu'nya di mana 'chu' pada Super Highback adalah kurang sempurna, iaitu saiz chu agak kasar dan susunan yang tidak sempurna.








Arowana Merah


SUPER RED 

Spesis yang mana habitat asalnya terletak di Indonesia (bahagian barat Kalimantan) dan mendiami Tasik Sentarum dan Sungai Kapuas ini antara yang mendapat jolokan mata para peminat setia ikan arowana. 

Berbanding dengan 'Cross Back Golden Asian Arowana', baka super red lebih tampak menonjol dengan tampilan warna merah yang pelbagai. 

Ikan spesies merah ini mempunyai beberapa variasi seperti merah darah (blood red), merah cili/cabai (chili red), dan merah oren (orange red).

Warna merah yang terdapat sejak kecil pada bahagian barble, ekor, dan siripnya akan di ikuti pada bahagian pipi dan insang apabila umur ikan tersebut meningkat matang (kira-kira pada usia lebih 3-4 tahun). Ring yang jelas pada sisik di badannya akan mulai kelihatan apabila saiznya mencapai ukuran 25 cm (10'-11' inci) ke atas.

Kebiasaan harga tempatan untuk induk jenis ini adalah RM9000-RM10 000. Manakala bagi harga semasa anak ikan adalah RM1200. Pelbagai cara turut digunakan oleh penggemar ikan ini untuk menyerlahkan lagi warna merahnya seperti pemberian lipan, atau membiarkan ikan terkena sinaran matahari langsung.

BLOOD RED

'Blood Red Arowana' yang merupakan salah satu variasi daripada 'Super Red' cukup mempunyai peminatnya yang sanggup mengeluarkan modal yang tinggi untuk memiliki spesis ini. Harga pasaran tempatan di Malaysia bagi ikan ini adalah antara RM1000-RM1500 berukuran antara 3'-5' inci. Ikan mudah di dapati di pasaran.

Bentuknya pula menirus pada bahagian badan sehingga ke kepala. Sisiknya pula mempunyai warna teras 'base colour' kebiruan manakala warna pada permukaan tebing sisik serta bahagian pipinya merah tua. Bahagian ekor dan sirip lazimnya berwarna merah tua manakala struktur hujung ekornya membulat.

CHILI RED

'Chili Red Arowana' adalah termasuk di dalam kategori 'Super Red'. Harga tempatan ikan ini adalah lebih kurang sama dengan baka jenis 'Blood Red'. Bentuknya melandai dari bahagian atas badan sehingga ke bahagian kepala.

Warna pada teras sisiknya adalah kebiruan berbeza dengan permukaan tebing sisik yang berwarna oren kemerahan. Bahagian sirip dan ekor spesis ini adalah merah terang dan bentuk ekornya yang menajam di bahagian hujung. Ada yang mengatakan jenis ini lambat sedikit menampakkan warna merahnya secara keseluruhan berbanding yang lain.

Arowana Hijau

'Green Arowana' ataupun lebih di kenali oleh masyarakat tempatan sebagai 'kelisa hijau' merupakan salah satu spesis ikan kelisa Asia Tenggara yang sangat diminati. Kelisa ini mendiami sungai dan tasik besar yang tertentu di Asia Tenggara (tidak termasuk Filipina) seperti Tasik Kenyir.

Spesis ini merupakan spesis kelisa yang termurah selain daripada 'yellow-tail' dan 'pearl ' arowana. Bagi penggemar yang baru menceburkan diri untuk memiliki spesis arowana sebagai ikan hiasan di rumah, spesis ini sangat di sarankan kerana harganya yang murah di pasaran tempatan. Harga bagi anak 'kelisa hijau' bersaiz 3'-5' kebiasaannya antara RM150-RM180.

Namun begitu bagi memilih anak ikan ini, pengalaman di perlukan untuk membezakan sama ada baka yang di beli tidak tertukar dengan spesis 'yellow-tail' arowana kerana warna dan struktur badannya yang hampir sama. Warna hijau yang menyerlah akan muncul pada sisik yang ke-4 dan ke-5 apabila ikan ini mencapai usia seawal usia 7-9 bulan.

Bentuk ikan ini agak membujur dan sedikit memendek. Kesemua sektor siripnya pula hijau-kekelabuan sementara ekornya membulat di bahagian hujung.Saiz maksimum ikan ini bawah 90cm (kira-kira 30'-35' inci). Warna kedua-dua belah mata bagi induk ikan ini adalah jernih kekuningan dan sesetengahnye berwarna sedikit kemerahan.

Namun begitu variasinya bergantung pada habitat asal ikan tersebut. Warna sisiknya yang putih pudar (telus cahaya) haruslah meliputi dari bahagian abdomen sehingga sisik yang ke-5.

Terdapat lagi satu spesis iaitu 'Nami Green Arowana' yang mana di badannya terdapat corak batik yang unik. Gelaran 'Nami' yang diberikan sempena nama satu-satunya habitat asal ikan ini di sekitar kawasan Empangan Nami, Kedah. Namun begitu, ikan ini semakin sukar untuk di dapatkan kerana kuantitinya yang semakin berkurangan. Ada juga yang mengatakan ikan ini terdapat di Tasik Kenyir. Spesis ini juga adalah sangat sukar didapati di pasaran tempatan bagi tujuan kemersial.

Emas Di Alam Akuatik


Arowana terkenal sebagai ikan unik yang tidak ternilai harganya. Arowana termahal di dunia yang mencecah ribuan ringgit ialah arowana emas Malaysia, semestinya berasal dari negara ini. Kedudukan Malaysia yang mengalami iklim khatulistiwa menjadi lokasi terbaik bagi arowana membiak, sama ada di habitat semula jadi atau di dalam kolam ternakan. Ikan ini tidak boleh membiak di negara beriklim sederhana seperti Jepun, China, Thailand, Hong Kong dan Taiwan.

Walaupun terdapat pelbagai jenis arowana yang wujud di seluruh dunia seperti di Amerika Selatan, Australia dan Afrika, arowana Asia yang ada di negara ini merupakan yang paling cantik, paling berharga dan paling diminati di seluruh dunia. 

Tahukah anda bahawa pada masa dahulu, arowana dikenali sebagai ikan kelisa. Ia juga dikenali sebagai ikan sarung golok di negeri pantai timur Malaysia. Selain dijual, dijadikan hidangan atau dijadikan pekasam oleh nelayan, dahulu ikan ini tidak mempunyai keistimewaan jika dibandingkan dengan ikan air tawar lain seperti lampam sungai, terbul, tembakang dan sebaru. Kelisa yang dahulu hidup di habitat semula jadi di hulu sungai, kini dikenali sebagai arowana dan dipelihara di dalam rumah atau di dalam pejabat kerana sering dikaitkan dengan simbol kemewahan serta kejayaan dalam kerjaya atau perniagaan seseorang.

Terdapat tiga genus arowana di seluruh dunia, iaitu genus Scleropages, Osteoglossum dan Heterodontis yang tergolong dalam famili Osteoglossidae. Spesies yang terdapat di Malaysia dan Indonesia ialah Scleropages formosus. Terdapat tiga jenis utama arowana Asia di negara ini, iaitu arowana emas, arowana merah dan arowana hijau. Selain itu, terdapat pelbagai spesies di seluruh dunia yang tercatat dalam buku ini.

Keunikan arowana yang menyebabkannya begitu bernilai dijelaskan secara terperinci oleh penulis dalam bab ketiga. Antara keunikan arowana termasuklah warna sisik, sesungut, kelakuan dan cara pembiakan. 

Ikan arowana yang hidup di habitat semula jadi menjadikan apa-apa sahaja yang ada di dalam air seperti ikan, udang dan serangga termasuklah reptilia dan mamalia kecil yang termasuk ke dalam air sebagai mangsanya. Sementara itu, ikan yang dipelihara atau diternak di dalam kolam akan diberi makanan seperti cengkerik, belalang, udang, anak ikan, katak, ulat gandum dan pelet.

Tanda-tanda awal arowana berpenyakit dijelaskan supaya pemelihara dapat mengenal pasti ikan kesayangan mereka seperti warna yang semakin pucat dan tidak bermaya, bahagian hujung sirip yang pecah-pecah dan bergerigi, tidak mahu makan atau morfologi badannya kelihatan tidak normal. Ikan yang berpenyakit perlukan rawatan, namun memerlukan kos dan berisiko tinggi. 

Oleh sebab itu, penjagaan yang sempurna terutama mutu air perlu diambil kira sebelum ikan ini dijangkiti penyakit. Individu yang ingin memelihara ikan ini, tetapi tidak mengetahui cara penjagaan di dalam akuarium perlulah selalu menimba pengalaman dari rakan yang sama hobi.

Industri Arowana

Industri ikan arowana telah berkembang dengan pesat dan kini Malaysia merupakan pengeksport utama ikan arowana di dunia. Bagi memastikan industri ini lebih berdaya maju dan boleh bersaing pada jangka masa panjang, disiplin penyelidikan genetik dalam penentuan jantina dan pengenalpastian starin arowana penting untuk dilaksanakan. Oleh itu, Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi (IPP Glami Lemi) telah memulakan penyelidikan ke atas arowana emas Malaysia dengan fokus utama kepada:

 • Pembangunan penanda generik untuk pengenalpastian strain atau varieti Asian Arowana dan pengkodan DNA bagi nami-green arowana.
 • Penentuan jantina arowana emas Malaysia melalui kaedah penanda genetik dan kaedah endoktinologi.
 • Pengurusan dan pemuliharaan arowana emas Malaysia di Tasik Bukit Merah.

Kajian-kajian ini akan dilaksanakan dari tahun 2011-2015 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, dengan kos anggaran sebanyak RM1.7 juta. Kajian-kajian tersebut dijangkakan akan menghasilkan output yang dapat meningkatkan kualiti spesies ini, yang merangkumi:-

 • Kaedah yang cepat, mudah dan tidak invasif untuk penentuan dan pencirian jenis (varieti)/strain dan jantina arowana diperolehi.
 • Maklumat saintifik berkenaan biologi pembiakan arowana emas Malaysia dapat dijana.
 • Teknik pengenalpastian jantina ikan arowana di peringkat juvenil memudahkan pemilihan dan pemeliharaan induk arowana emas Malaysia.
 • Dapat membangunkan teknik pembiakan aruhan bagi arowana emas Malaysia dan seterusnya pemuliharaan strain tersebut yang berkualiti tinggi dengan program penstokan semula di Bukit Merah, Perak.

Rabu, 2 Mei 2012

Mengenali Arowana






Perkataan Malaysian Gold bermaksud ikan arowana jenis gold. Maksudnya ikan arowana Malaysia yang ring nya gold (24k gold atau emas tulin).

Masukkan ikan gold ke dalam plastik dan goncang kuat-kuat supaya ikan jadi takut. Ikan green atau Yellow Tail akan bertukar warna sirip hujungnya putih. Banjar Red akan menjadi kuning semua sirip atas dan bawahnya. Hanya ikan Gold saja yang belang hitam atas dan bawah, merah atau kuning.


Ada 3 kategori Malaysian Gold ada yang High Back, Super High Back dan Cross Back. Ikan jenis ini paling mudah dikenali, mengikut base warnanya. Jika base warnanya gold, Warna siripnya bawahnya kuning dan atasnya hitam. Jika base warnanya biru atau hijau , warna sirip bawahnya merah dan atasnya hitam. Jika jenis High Back atau Super High Back warnanya belang yang bawah, sisik 4 berkilau dan atas gelap. Pada usia 3 bulan ring nya mula nampak jelas.


Untuk Cross Back sukar sikit untuk dikenali cuma bila dah agak besar ring emasnya tidak sebaris macam garisan lurus ia naik macam ombak-ombak sehingga usia 6 bulan ke setahun mengikut gred.


Jenis Cross Back lah yang paling banyak jenisnya ada yang berharga RM2,000 sehingga RM50,000 untuk anak yang panjangnya 3 inci. Jenis yang mampu beli dipasaran adalah jenis anak yang berharga RM5,000 ke bawah untuk anak. Harga anak digredkan semasa berusia 4-5 inci mengikut kualiti. Contohnya yang berharga RM3,500 pada usia 5 inci kebawah ring emasnya telah mencapai 5.5 dan sangat jelas, serta misainya panjang. Ikan yang misainya panjang induknya berusia 7 tahun ke atas dan telah matang sesuai untuk dijadikan benih. Untuk ikan yang bawah 5 inci berharga RM25k jenis ini pada panjang 5 inci 75 % kepalanya emas, telah hampir cross dan chu nya telah penuh.