Rabu, 6 Februari 2013

Nilai Eksport RM444j Tahun Lalu



RAMAI tidak mengetahui ikan arowana atau kelisa yang kini menerima jolokan ikan hiasan termahal di dunia pernah dijadikan lauk dan ikan pekasam oleh masyarakat setempat kerana ia mudah ditemui di sekitar tasik dan sungai.

Mungkin ada yang terkejut namun itu hakikatnya kerana ikan hiasan itu pernah menjadi hidangan lauk-pauk utama masyarakat tempatan terutama di sekitar Bukit Merah dan Kerian pada suatu ketika dahulu.

Kini, evolusi berlaku apabila ikan hiasan yang dianggap tuah dan 'ong' oleh masyarakat Cina itu digilai ramai sehingga ada sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit bagi mendapatkan ikan hiasan eksotik itu.

Lebih membanggakan, Malaysia kini gah di peta dunia apabila spesies termahal dari padanya. Antara spesies sering mendapat permintaan tinggi kini ialah Malaysia Golden, Golden High Back, Red Arowana, Silver Arowana dan Green Arowana.

Ikan yang turut mendapat jolokan nama Dragon Fish dan Dragon Bonytongues selain ikan peyang, tangkelesa, kelesa, siluk, kahyangan oleh beberapa etnik di Indonesia itu turut dikategorikan sebagai haiwan karnivor kerana ia menjadikan ulat, udang kering, cacing dan cengkerik sebagai makanan utama.

Malaysia boleh dianggap negara pengeluar utama ikan hiasan itu berikutan kedudukan negara beriklim khatulistiwa, sekali gus menjadi habitat terbaik untuk ikan itu membiak selain faktor kesesuaian kadar pH air.

Kadar pH air Tasik Bukit Merah, Bukit Merah antara 6.8 hingga 7.4 menjadikan ia lokasi terbaik untuk proses pembiakan ikan berkenaan di negara ini.

Selain itu, dalam satu kajian genetik dilakukan menunjukkan ikan arowana yang hidup kini berasal daripada keturunan Arapaima dan Arowana Afrika yang dianggarkan hidup kira-kira 220 juta tahun dulu.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, kerajaan sudah meletakkan ikan hiasan termasuk arowana sebagai satu bidang berkepentingan tinggi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara sehingga 2020.

Menurutnya, peluang perniagaan yang diwujudkan dalam industri berkenaan dijangka mampu menyumbang kira-kira RM600 juta kepada pendapatan negara kasar selain mewujudkan 100,000 peluang baru pekerjaan.

"Lebih penting, Malaysia akan kekal sebagai pengeluar utama ikan hiasan di dunia. Daripada jumlah itu, kira-kira 10,000 hingga 15,000 ekor anak ikan arowana dihasilkan penternak di sekitar Bukit Merah.

"Ia satu perkembangan baik untuk negara. Justeru, kami juga akan memperkenalkan Standard Spesifikasi Ikan Arowana Emas Malaysia atau DOF STAN 1:2012 sebagai usaha awal untuk menjadikan ikan hiasan bernilai tinggi itu sebagai warisan negara," katanya.

Berdasarkan statistik terbaru dikeluarkan, nilai eksport ikan hiasan dari Malaysia termasuk arowana Emas ke seluruh dunia mencecah nilai RM444 juta tahun lalu.

Jadi tidak hairanlah, pengu­saha kolam ternakan ikan arowana mampu bergelar jutawan dalam masa singkat sebaik menceburi industri berkenaan.

Dari sudut pemeliharaan ikan arowana, pakar Feng Shui terkenal, Stanley Tham Fook Cheong menganggap ikan hiasan berkenaan sebagai spesies yang hebat, raja ikan dan membawa tuah.

Dalam bahasa Mandarin, ia dikenali sebagai Chin Loong manakala Kantonis pula menggelarnya Kam Loong bermaksud naga emas.

Stanley berkata, pemilik ikan dianggap ada 'ong' apabila ikan yang dimiliki lebih besar dan sisik yang bercahaya. Beliau yang berpe­ngalaman lebih 20 tahun dalam bidang feng shui berpendapat, ikan arowana mampu memberi kekayaan, kekuasaan dan kesihatan baik kepada pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07  
Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Wan Asrudi Wan Hasan
Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/NilaieksportRM444jtahunlalu/Article/index_html

Tiada ulasan: